Sunday, July 4, 2010

Sejarah TAKAFUL

TAKAFUL – KONSEP INSURANS ISLAM

TAKAFUL merupakan satu konsep insurans berlandaskan Muamalat Islam yang menepati Syariah. Takaful berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ‘saling menjamin’ atau joint guarantee. Ia boleh digambarkan sebagai satu perjanjian antara sekumpulan peserta yang bersetuju untuk saling menjamin mana-mana ahli dalam kumpulan itu yang ditimpa kerugian tertentu.

Konsep takaful ini sudah pun wujud pada asasnya sejak sebelum zaman Islam lagi. Pada masa itu, ia dikenali sebagai sistem ‘aqila’ (tanggungjawab bersama) yang dipelopori oleh kaum-kaum Arab pada waktu itu.

Takaful yang dikenali sekarang beroperasi sebagai satu jenis perniagaan (tijari), dan ia berlandaskan prinsip Syariah, iaitu tiada unsur riba, perjudian atau ketidakpastian dalam kontrak dan pengendalian perniagaan takaful itu.

Dalam kontrak takaful, peserta bersetuju untuk menderma sebahagian daripada caruman mereka untuk membantu peserta-peserta lain yang menghadapi kesulitan/kerugian tertentu (ini di kenali sebagai tabarru’). Ia merangkumi unsur perkongsian tanggungjawab, saling menjamin dan melindung sesama mereka. Ini merupakan teras kepada sistem takaful yang menjadikan unsur ketidaktentuan dibenarkan dalam kontrak takaful.

Secara prinsipnya, sistem Takaful adalah diasaskan atas semangat saling bekerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling bantuan membantu di antara kumpulan-kumpulan peserta.

DALIL KERJASAMA

· Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa (al-Birr dan al-Taqwa) dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah Al-Maidah, Ayat 2)

DALIL TANGGUNGJAWAB

· Perbandingan hubungan dan perasaan antara Mukmin umpama sebuah badan; apabila salah satu daripada bahagian merasa sakit, akan terasa seluruh badan.

(Riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim)

DALIL SALING MELINDUNGI

· Demi diriku, yang di dalam kekuasan ALLAH, tiada siapa yang akan masuk Syurga jika ia tidak melindungi jirannya yang di dalam kesusahan.

(Riwayat Imam Ahmad bin Hanbal)

Berdasarkan dalil-dalil di atas, para sarjana Islam telah membuat keputusan bahawa perlunya ada usaha yang bersepadu untuk melaksanakan konsep Takaful sebagai kaedah yang terbaik untuk menghuraikan keperluan ini.

UNDANG-UNDANG TAKAFUL

Industri Takaful di Malaysia tertakluk di bawah Akta Takaful 1984, dan diselia oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Para Pengendali Takaful perlu mematuhi Syariah, syarat-syarat Berkanun dan Kawal Selia yang ketat

No comments: